Salam. Alhamdulillah hari ni dah 19 hari kita berpuasa di bulan yang mulia, Ramadhan al-Mubarak. Semoga segala amalan kita diterima olehNYA.
Tadi, selepas Linda membantu staf Linda yang kesibukan waktu berbuka puasa di restoran Linda - My Asam Pedas Shop, Linda menerima kiriman bbm daripada peminat yang 'minat gila' dengan Linda.
Katanya "Ada wartawan Utusan yang tak suka u ke Linda?".
Lalu Linda pun menjawab "Huh? Kenapa? Setahu Linda,Linda ok je dengan semua wartawan dan terbaru ni pun Linda beri kerjasama dengan salah seorang wartawan Pancaindera bernama Athirah yang mintak gambar2 Linda semasa mengerjakan umrah".
Kata peminat Linda lagi " Bacalah Mingguan Malaysia - Pancaindera hari ni". Linda pun terus cari akhbar tu dan terbaca tajuk "Linda Onn dan Umrah"…
Begini artikelnya;
Kalau artis luar negara, kita selalu baca tentang penglibatan mereka dalam kerja2 sukarela termasuklah yang jadi pejuang hak itu dan ini tapi artis negara kita selalu kita baca kisah mereka pergi umrah. Ada yang kata, baik juga kalau dihebohkan sekurang-kurang menarik rakan2 mereka yang selama ini selalu pergi bercuti di Paris, London, Milan dan sebagainya beralih ke Mekah. Memang positif tambahan pula artis2 kita duit banyak. Kalau jual sebuah beg tangan pun dah boleh pergi umrah. Cuma beberapa teman Siti termasuk yang "minat gila" dengan Linda Onn kata, jangan buat macam Linda Onn yang siap bawak sepanduk memberitahu Linda Onn mengerjakan umrah. Siti teringat sepanduk yang orang guna bila kumpulan pendaki berjaya sampai ke puncak gunung yang didaki. Mereka selalu rentangkan sepanduk sebagai "pengesahan" kejayaan sampai ke puncak. Siti sependapat juga dengan mereka. Siti percaya Linda Onn tak menganggap kejayaan mengerjakan umrah sama macam panjat gunung. Cuma mungkin dia terlupa cara begitu membuatkan orang ada persepsi lain. Siti teringat kisah seorang VIP yang tak menggunakan "haji" pada pangkal namanya. Apabila ditanya, kata VIP itu, yang pentingnya kita pergi kesana. Gelaran tak penting kerana ini bukan boleh dikomersialkan. Siti setuju juga cara dia. Moga artis2 kita belajar daripada pendekatan VIP tadi.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pertama sekali Linda berterima kasih atas tajuk artikel ini yang begitu indah dan terima kasih juga atas kepekaan Siti Jarum. Tajuknya indah tapi isinya seperti menghiris hati ini. Linda agak kecewa kerana dalam bulan yang mulia ini, ada pulak cerita yang kurang enak sampai ke telinga Linda. Selama ni, ada juga beberapa wartawan dan akhbar sering memfitnah & menjatuhkan maruah Linda tetapi Linda diam saja tapi kali ini ia membabitkan soal ibadah dan soal antara Linda dan Allah. Jadi Linda rasa, ada baiknya Linda perbetulkan kenyataan Siti Jarum.
Jika diteliti, Alhamdulillah, sebelum ini sudah beberapa kali Linda menunaikan umrah tapi tak pernah sekalipun ada sepanduk memberitahu "Linda Onn mengerjakan umrah".
Untuk pengetahuan anda, umrah Linda kali ini adalah tajaan Gemilang Travel & Tours Sdn Bhd. Agensi pelancongan ini memilih SuriaFM sebagai radio rasmi untuk mempromosikan syarikat mereka. Linda adalah penyampai yang dipilih untuk ditaja. Secara kebetulan, memang Linda dan keluarga sedang merancang untuk mengerjakan umrah pada tahun ini. Bukan Linda saja yang pergi malah pendengar SuriaFM yang terpilih sebagai pemenang turut serta menunaikan umrah bersama Linda. Gemilang Travel membuat promosi secara besar-besaran sebelum tarikh berangkat diantaranya iklan di radio SuriaFM, sepanduk, flyers, 'bunting' dan pemberitahuan melalui laman web rasmi SuriaFM bukan sahaja di lembah Klang malah promosi ini pernah Linda lihat sampai ke Melaka.
Bila Linda dipilih, Linda diberi tugasan untuk membuat liputan perjalanan sebelum berangkat, semasa berada di Madinah, Makkah dan sehinggalah perjalanan pulang Linda ke Malaysia. Semua itu adalah di dalam perjanjian antara Gemilang Travel (selaku client) dan SuriaFM. Jadi, Linda sebagai individu yang ditaja oleh Gemilang Travel,melunaskan tanggungjawab yang diberikan utk membuat lintasan secara 'live' di radio sebanyak 2 kali sehari bagi mempromosikan syarikatnya. Disana, Linda bekerja sambil beribadah.
Kalaulah Siti Jarum buat homework tentang umrah Linda kali ini, pasti Siti Jarum tak menulis begitu. Tak perlu jauh buat homework, dalam blog Linda sebelum ni pun, tajuknya ialah "Umrah Bersama Gemilang Travel Part 1,2 & 3". Ada 3 blog!
SOAL SEPANDUK - Sepanduk disediakan dan dibawa oleh Gemilang Travel. Bukan Linda.Tak pernah terniat dalam hati Linda utk pergi beribadah di kota Makkah dan Madinah membawa sepanduk. Buktinya,umrah Linda sebelum ini, tak pernah kelihatan sepanduk,bukan? Sebab sebelum ini, Linda pergi umrah bukan atas dasar kerja. Linda harap semua maklum bahawa tujuan sepanduk dibawa oleh agensi adalah untuk mempromosikan syarikat mereka. Linda sendiri tak tahu sepanduk itu dibawa kesana. Bila diminta bergambar, sebagai 'duta kecil', Linda pun bergambar beramai-ramai bersama jemaah yang lain. Tidak ada terniat langsung di hati Linda sepanduk itu sebagai "pengesahan" kejayaan seolah-olah sampai ke puncak gunung seperti yang dikatakan oleh Siti Jarum. Walaupun hakikatnya, menjejakkan kaki ke tanah suci bagi Linda adalah satu kejayaan yang lebih besar daripada sampai ke puncak gunung. Tiada bandingannya. Linda rasa semua orang sependapat dengan Linda bahawa tidak semua orang berpeluang untuk sampai ke tanah suci kecuali dengan izin Allah swt. Walaupun dengan menjual sebuah beg tangan boleh pergi umrah, kalau Allah belum jemput ke rumahnya, belum tentu kita sampai.
Diharap penjelasan mengenai sepanduk itu cukup jelas dan usahlah pertikaikan ibadah umrah sesama Islam. Tuhan lebih tahu, kita hanya manusia biasa. Ibadah umrah Linda hanya Linda dan Allah saja yang tahu.
Berfikirlah secara positif dan jangan ada persepsi negatif.
Terus terang, Linda tak tahu siapa itu Siti Jarum. Mungkin Tengku Khalidah atau Amirah Zawatil atau Arif Nizam atau Syed Mussaddad atau Siti Athirah. Itulah nama sidang redaksi Pancaindera.
Walau apa pun, Linda doakan wartawan yang menulis artikel "Linda Onn dan Umrah" pada tarikh 29 Ogos 2010 yang menggunakan nama samaran Siti Jarum dari Pancaindera- Mingguan Malaysia satu hari nanti dapat pergi mengerjakan umrah dengan tenang dan diredhai Allah. Semoga jari-jemarimu dapat menyentuh rumah Allah (Baitullah). InshaAllah..
Selamat berpuasa kepada semua. Kurangkan dosa, tingkatkan pahala.. Renung-renungkan dan selamat beramal !
LO: Siti Jarum, nanti kita pergi umrah sama-sama dengan Gemilang Travel eh?